Bayangkan Apa Yang Anda Akan Dapat Jika Membahagiakan Keluarga Dengan Masakan Anda


 

 

Memasak bukanlah sesuatu yang asing lagi lebih-lebih lagi bagi wanita. Namun kini, bilangan tukang masak lelaki semakin meningkat dan ramai juga suami yang berkebolehan di dapur. Tidak kisah siapa yang memasak, yang penting mereka tetap dapat hasil seperti dikongsikan di bawah apabila membahagiakan keluarga dengan masakan sendiri.

 

Hasil Bahagiakan Keluarga dengan Masakan Anda #1 : Suami sayang

 

Tentu suami bahagia apabila perutnya dijaga elok oleh isteri tercinta yang pandai memasak. Masaklah apa pun, gorenglah apa pun, semuanya terasa sangat sedap. Rahsianya? Air tangan isteri. Apa pun yang anda masak dengan ikhlas dan sepenuh hati pasti hasilnya berbaloi. Suami pastinya berbangga mempunyai isteri seperti anda. Setiap kali tiba waktu makan, semuanya sudah tersedia dihidangkan. Dilayan suami seperti raja. Bertambah-tambah sayang suami pada anda. Untungkan, kalau kita dapat bahagiakan suami dengan masakan kita?

 

 

Hasil Bahagiakan Keluarga dengan Masakan Anda #2 : Hubungan kekeluargaan semakin erat

 

Jika suami isteri kedua-duanya bekerja, sama-samalah saling membantu menguruskan keluarga. Balik kerja isteri sediakan bahan untuk masak, suami bantu uruskan anak-anak sementara isteri sediakan makan. Atau, sekiranya suami pandai memasak, sekali sekala suami boleh ambil giliran. Kemudian, sama-sama bersihkan dapur selepas masak. Setiap saat yang berlalu dengan berkualiti pasti akan menjadi terapi setelah masing-masing penat bekerja. Inilah masa terbaik untuk berkongsi cerita dan update tentang apa yang dilalui oleh pasangan seharian. Sambil-sambil cuci pinggan, mak ayah bergelak ketawa sementara anak-anak bantu mengemaskan meja makan dan menyapu lantai. Dengan mengamalkan cara ini setiap hari, anda akan rasakan hubungan kekeluargaan anda bertambah mesra dan komunikasi anda dengan pasangan akan bertambah baik.

 

 

Hasil Bahagiakan Keluarga dengan Masakan Anda #3 : Jimat belanja

 

Semakin hari harga barang-barang semakin mahal. Mahu atau tidak kita harus berjimat. Apatah lagi untuk keluarga yang besar atau pun keluarga yang punya pendapatan rendah dan sederhana. Sekali makan purata RM7-RM8, itu baru sekali makan dalam sehari. Kalau makan sehari 3 kali? Ha, darablah dengan sebulan. Dah beratus habis untuk makan sahaja. Lebih parah kalau keluarga ada 5 orang ahli. Oleh kerana itu, memasak adalah jalan yang paling mudah. Suami anda pun tak perlu pening kepala lagi, isterinya lebih hebat mengawal perbelanjaan keluarga. Sekiranya ada lebihan duit, bolehlah digunakan untuk perkara lain pula yang lebih bermanfaat. Lagipun, dalam setiap rezeki kita kan ada bahagian orang lain?

 

 

Hasil Bahagiakan Keluarga dengan Masakan Anda #4 : Keluarga sihat

 

Apa lagi yang kita inginkan daripada semua ahli keluarga sihat sejahtera? Sihat itu juga merupakan salah satu sumber rezeki yang dikurnia Tuhan kepada kita. Bersyukurlah sekiranya anda masih mampu memasak untuk keluarga anda. Sekurang-kurangnya mereka mendapat khasiat yang sepatutnya daripada masakan anda. Bila kita masak sendiri banyak benda yang boleh kita kawal seperti penggunaan minyak, garam, gula dan bahan perasa. Kita juga boleh memilih kualiti makanan yang lebih bagus seperti minyak zaitun, ayam dan ikan yang segar, sayur organik dan mungkin juga boleh dapatkan cili dan ulam dari pintu dapur anda sendiri. Mudah, jimat dan menyihatkan.

 

Tahniah kepada pasangan yang memang mengamalkan aktiviti memasak dalam keluarga. Kepada yang belum mula, tidak terlambat untuk mula dari sekarang. Mula-mula memang agak kekok. Lama kelamaan anda akan mahir dan lebih cekap di dapur. Ajaklah pasangan sama-sama untuk meringankan tugas di dapur, insyaAllah keluarga bahagia itu milik anda.

10 September 2018

Agency © 2018 | Created with Shopievo